Kawasan hijau di Samarahan akan diwartakan – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman menyampaikan buku Space Atlas kepada Abang Johari pada Forum Bandar Sarawak 2.0 di Pusat Acara Hikmah Exchange.

KUCHING, 26 Oktober: Kawasan hijau berhampiran Samarahan, selepas Jambatan Sejingkat, akan diwartakan bagi memastikan kawasan itu terus dipelihara daripada pembangunan yang boleh menjejaskan kelestarian alam sekitar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan bandar yang mengimbangi keperluan infrastruktur moden dengan pemeliharaan alam semula jadi.

Menurutnya, kawasan berkenaan akan menyediakan ruang kepada masyarakat untuk menikmati persekitaran hijau, beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Bandar Sarawak 2.0 di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.

ABANG Johari bersama tetamu kehormat pada Forum Bandar Sarawak 2.0

Abang Johari berkata, perancangan bandar perlu mengambil kira keperluan ruang terbuka memandangkan kediaman moden, khususnya rumah teres dan pangsapuri, lazimnya mempunyai kawasan yang lebih terhad berbanding rumah kampung tradisional.

Justeru, taman awam dan kawasan rekreasi penting sebagai ruang alternatif bagi membolehkan penduduk menikmati persekitaran yang selesa di luar kediaman masing-masing.

“Pendekatan sama perlu diterapkan dalam pembangunan bandar lain di Sarawak dengan mengekalkan kawasan semula jadi yang mempunyai nilai kepada alam sekitar dan masyarakat setempat”.

“Antara kawasan yang diberi perhatian ialah Hutan Simpan Bukit Lima di Sibu dan Rizab Alam Semula Jadi Piasau di Miri, yang berperanan memelihara habitat semula jadi di kawasan bandar”, katanya.

Selain itu, pembangunan bandar masa depan tidak seharusnya hanya berorientasikan pembangunan fizikal, sebaliknya perlu mengambil kira kelestarian alam sekitar, warisan budaya dan kesejahteraan penduduk.

Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan kawasan hijau sebagai sebahagian daripada perancangan guna tanah bagi memastikan pembangunan bandar di Sarawak kekal mampan dan memenuhi keperluan generasi akan datang.

Oleh Shikin Mahmud