
KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis Methamphetamine seberat 10.1 kilogram dianggarkan bernilai RM347,200 yang disembunyikan di dalam kotak bersama makanan ringan pada 16 April lepas.
Pengarah JKDM Sarawak Norizan Yahya berkata seorang lelaki tempatan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dari Kuala Lumpur ditangkap pada 12 tengah hari selepas suspek dikesan berkelakuan mencurigakan di kawasan tuntutan bagasi.
“Suspek dilihat menuntut satu kotak dari karusel bagasi sebelum menuju ke tandas bersama kotak berkenaan, dan anggota dari Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) di LTAK bertindak menjalankan pemeriksaan ke atas individu terbabit bersama kotak yang dibawanya.
“Hasil pemeriksaan menemukan sepuluh plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norizan berkata tangkapan itu hasil kerjasama UKPP dan Cawangan Narkotik JKDM Sarawak.
Beliau berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
“Sekiranya hukuman penjara seumur hidup dikenakan, pesalah hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya. — Bernama