PETRA JAYA: Penganjuran Karnival Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat dalam penjagaan kesihatan serta kelestarian alam sekitar.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata kesihatan merupakan aspek utama yang mesti diberikan tumpuan oleh setiap individu untuk hidup yang sejahtera.
”Karnival ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai seperti pertandingan fesyen kitar semula dan juga karaoke kejiranan mesra selain pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah dan tahap gula dalam darah.
”Kesihatan seharusnya menjadi aspek yang perlu diberi perhatian kerana jika tubuh badan kita sihat, kita akan berasa cergas. Dengan itu kita dapat menyertai pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan terutamanya di kawasan DBKU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar DBKU di Eco Mall Petra Jaya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengadakan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memastikan penjagaan kesihatan berada pada tahap optimum.
Selain itu, katanya semua pihak juga perlu bekerjasama dalam menjayakan program alam sekitar dalam usaha memelihara keindahan dan kelestarian alam sekitar.
”Semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan serta masyarakat di sekitar Kuching perlu mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar seperti mengurangkan penggunaan plastik dan beralih kepada pembungkusan kitar semula.
”Tindakan mudah bermula dari rumah seperti mengasingkan sisa atau sampah boleh membuat perubahan besar dalam menjaga kebersihan persekitaran kita,” tambahnya.
Karnival itu sebahagian daripada inisiatif DBKU untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kelestarian alam sekitar.
Turut hadir ialah Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman.