BETONG: Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang laluan ke bandar Betong bermula hari ini sehingga 1 September (Ahad) ini bagi memberi laluan acara Karnival Berbasikal Layar (LCC) 2024 bertempat di RTC Layar.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Zamry Alli dalam satu kenyataan berkata bagi melancarkan acara sambutan, beberapa jalan utama di bandar Betong akan ditutup sementara semasa raptai dan hari sebenar karnival berbasikal itu dilangsungkan.
“Penutupan jalan sementara bermula dari persimpangan kilometer (km) 110 Jalan Betong –Sarikei bagi perlumbaan lebuhraya LCC 2024 akan dibuat pada 1 September (Ahad) pada jam 8 pagi sehingga selesai.
“Program berbasikal Fun Ride pada 31 Ogos 2024 (Sabtu) akan melalui jalan-jalan berikut iaitu Bulatan Datuk Patinggi Udin, Jalan Sie Kwang Ngak, Jalan temenggong Montegerai, Jalan Orang Kaya Pemancha Nanang, Jalan Bebangai, Jalan Pan Borneo Betong-Sarikei,” katanya.
Zamry berkata penutupan jalan melibatkan jalan sementara dan jalan altenatif/lencongan yang terlibat sepanjang program adalah di Jalan Temenggong Datuk Montegrai iaitu sepanjang hadapan Rumah Rehat Betong adalah ditutup sepenuhnya.
Selain itu, Jalan Pengarah Isek (sepanjang hadapan Dewan Panglima Rentap), Jalan Spine, Jalan Tanjong Assam dan Jalan Sie Kwang Ngak juga ditutup.
“Penutupan jalan sementara ini adalah bagi memberikan kelancaran kepada program yang akan dijalankan.
“Adalah diharapkan orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan yang sesuai bagi mengelakkan sebarang kesulitan di kemudian hari,” katanya.