SINGAPURA: Lapan kru kapal tangki, Silver Sincere yang berdaftar di Malaysia, berjaya diselamatkan selepas kapal terbabit karam di perairan wilayah Singapura berhampiran Pedra Branca, semalam.
Kesemua mangsa itu diselamatkan oleh kapal kargo berdaftar Indonesia, Intan Daya 368.
Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata, ia telah mengarahkan kapal pengangkut Indonesia itu untuk membantu selepas agensi berkenaan dimaklumkan mengenai panggilan kecemasan Silver Sincere kira-kira jam 3.40 petang.
“Nakhoda kapal telah memindahkan semua kru dari kapal yang tenggelam.
“Semua anak kapal itu berada dalam keadaan sihat dan akan diturunkan di Batu Ampar, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketika kejadian, Silver Sincere dilaporkan dimasuki air.
MPA berkata, sebagai sebahagian daripada usaha mencari dan menyelamat, agensi itu turut mengerahkan kapalnya, bersama kapal Tentera Laut Republik Singapura dan Pengawal Pantai Polis Singapura.
“Fasa mencari dan menyelamat yang diselaraskan oleh MPA telah selesai,” katanya.
MPA juga mengaktifkan kapal tunda penyelamat untuk fasa pemulihan kapal.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kapal tindak balas tumpahan minyak turut diaktifkan.
Agensi itu menyiarkan nasihat keselamatan navigasi untuk kapal yang melalui kawasan kejadian agar menjauhi lokasi berkenaan. Trafik navigasi di Selat Singapura tidak terjejas. – Bernama