AL KHOR, Qatar: England melebarkan rekod tanpa kalah menentang pasukan Afrika selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Senegal, sebentar tadi.
Ia termasuk gol pertama di Piala Dunia kali ini daripada kapten, Harry Kane dengan mereka membentuk pertembungan suku akhir berdepan juara bertahan, Perancis.
England pada mulanya kelihatan bergelut menentang Senegal dalam pertemuan pertama kedua-dua negara itu, dengan tindakan menyelamat dilakukan Jordan Pickford untuk menghalang Boulaye Dia daripada memberikan jaringan pembukaan yang mengejutkan kepada pasukan Afrika itu.
Namun, Jordan Henderson menenangkan England pada minit ke-38 apabila meletakkan bola ke dalam gawang selepas menerima umpanan menarik Jude Bellingham.
Kane melepaskan rembatan deras untuk menewaskan penjaga gol, Edouard Mendy menerusi sepakan terakhir di separuh masa pertama, meletakkan dia satu gol di belakang rekod Wayne Rooney yang meledak 53 gol untuk England.
Pemain sayap lincah, Bukayo Saka menyumbang gol ketiga dengan penyudah menarik untuk menewaskan Mendy selepas menerima hantaran lintang Phil Foden pada minit ke-57.
Pesta gol England di Qatar – 12 gol setakat ini – menyamai jumlah Piala Dunia terbaik mereka sebelum ini di Russia 2018 apabila mara ke separuh akhir.
Mereka menjaringkan 11 gol ketika memenangi Piala Dunia pada tahun 1966. –