AKUN GIMAN
KANOWIT: Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas di Sungai Ngemah, Nanga Jagau, di sini petang Khamis lalu.
Mangsa dikenali sebagai Nison Dana Raymond, 7, sehingga berita ini ditulis masih belum ditemui.
Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Tega Bilong berkata, sekitar jam 10.35 malam tadi anggota yang bertugas di kaunter Balai Polis Kanowit menerima panggilan telefon daripada seorang pengadu memaklumkan kejadian tersebut.
“Ketua Polis Balai (KPB) bersama tiga anggota dan lima anggota Bomba bergerak ke lokasi kejadian dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa yang dimulakan pada jam 8.00 pagi tadi (semalam),” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita petang semalam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, PPgB Arrahman Chik berkata, semasa kejadian sekitar jam 4.30 petang semalam mangsa mandi bersama datuk dan neneknya di sungai tersebut.
“Semasa neneknya hendak naik untuk memakai baju, tangan mangsa terlepas dari genggaman neneknya dan terus hanyut di bawah arus deras.
“Datuk dan neneknya bergegas balik ke rumah panjang untuk meminta bantuan mencari mangsa.
“Pada jam 5.00 petang, tiga buah perahu panjang digunakan untuk mencari mangsa sehingga jam 7.00 malam (Khamis), namun mangsa masih belum dijumpai,” ujarnya.
Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.44 malam tadi daripada seorang pengadu yang memaklumkan kejadian itu.
“Sekitar jam 7.40 pagi tadi (semalam), perbincangan diadakan di Balai Polis Kanowit untuk Operasi SAR mangsa dikhuatiri lemas,” ujarnya.
Katanya, seramai tiga anggota bomba bersama empat anggota polis terlibat dalam Operasi SAR mangsa yang bermula pagi semalam.