SIMANGGANG: Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman kini sedang meneruskan usaha untuk menjejak dan menangkap seorang lelaki yang telah dituduh di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie menerusi siaran media berkata, lelaki yang dikehendaki itu dikenali sebagai Juli Mangkok, 31, dari Rumah Sawai, Jungkong Pandak A, Bukit Balau, Lingga.
“Lelaki berkenaan telah dituduh di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun bersabit laporan Sri Aman/ RTP/2224/2024 dengan nombor kes SRA-83-61-8/2024.
“Bagaimanapun, lelaki berkenaan tidak hadir di Mahkamah Majistret Sri Aman pada 22 Ogos lepas berhubung kes ini dengan satu waran tangkap telah dikeluarkan oleh Majistret terhadap dirinya,” kata beliau.
Mathew, pada masa sama, memohon kepada orang ramai agar bertindak segera menyalurkan maklumat kepada IPD Sri Aman jika mempunyai maklumat terkini mengenai kedudukan lelaki berkenaan bagi tujuan tindakan lanjut.
“Orang ramai boleh menghubungi Balai Polis Sri Aman di talian 083322121 jika mahu menyalurkan maklumat mengenai kedudukan terkini lelaki yang dikehendai tersebut.
“Mereka juga boleh bertindak menghubungi pegawai penyiasat kami iaitu Sarjan Zuriana Jamali di talian 0107883733 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi tujuan itu,” kata Mathew.