IGAN: Seramai enam pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menerima Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berjumlah RM500 seorang bagi meringankan beban kewangan keluarga sebagai persediaan melanjutkan pengajian.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, pendidikan merupakan pelaburan paling bernilai dalam membentuk masa depan generasi muda.
“Saya menggesa para penerima agar memanfaatkan peluang menimba ilmu dengan bersungguh-sungguh kerana mereka merupakan pewaris dan pelapis yang bakal menerajui pembangunan masyarakat, negeri dan negara pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan tersebut pada satu majlis ringkas di pekarangan rumah Ketua Kaum Kampung Dagang Igan, Kipli Lageng, semalam.

Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata, bantuan itu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memenuhi keperluan pembelajaran seperti pembelian buku, peralatan akademik serta kelengkapan lain yang dapat menyokong perjalanan pengajian.
“Saya berharap bantuan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan seterusnya kembali menyumbang bakti kepada keluarga, masyarakat serta negeri Sarawak,” katanya.
Sementara itu, ibu bapa para penerima melahirkan rasa syukur dan gembira atas keprihatinan Juanda yang sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan serta pembangunan pendidikan kepada anak-anak di kawasan DUN Jemoreng.
Mereka turut merakamkan penghargaan atas inisiatif tersebut yang disifatkan amat bermakna dalam membantu mengurangkan beban kewangan keluarga menjelang kemasukan anak-anak ke institusi pengajian tinggi.
Bantuan itu mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan DUN Jemoreng dalam memperkasa sektor pendidikan serta memastikan lebih ramai anak tempatan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi demi masa depan yang cemerlang.
Oleh Akun Giman





