PRN Sarawak: 517 borang pencalonan terjual setakat semalam

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto AI

KUCHING, 18 November: Berbaki 10 hari sebelum hari penamaan calon pada 28 November ini, bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak e-13 semakin dirasai apabila sebanyak 517 borang pencalonan terjual setakat semalam.

Pengarah PRN Sarawak Abang Noraffian Abang Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 390 borang dijual secara langsung di kaunter Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sejak penjualan borang berkenaan dibuka pada 6 November lepas.

“Baki 127 borang lagi dijual menerusi pejabat Pegawai Pengurus di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa individu yang berhasrat bertanding pada PRN Sarawak digalakkan membayar deposit lebih awal bagi memastikan urusan penamaan calon dapat diselesaikan dengan teratur dan berjalan lancar.

SPR turut mengingatkan bahawa borang pencalonan yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus hendaklah dikemukakan oleh calon, penyokong atau pencadang pada 28 November ini di pusat penamaan calon.

SPR menetapkan pengundian awal pada 8 Disember manakala hari mengundi pada 12 Disember ini bagi PRN Sarawak ke-13 yang menyaksikan sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan.

Pada 23 Okt lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-13. – Bernama