
ROBAN: Tindakan seorang lelaki tempatan yang menjadikan kawasan tempat letak kereta di belakang sebuah bangunan kedai di pekan Roban sebagai lokasi jualan nombor loteri awam haram mengundang padah apabila dia ditangkap polis dalam satu serbuan semalam.
Pihak polis yang bertindak atas maklumat risikan telah menjalankan operasi khas bagi mengekang aktiviti perjudian tanpa lesen di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie mengesahkan bahawa serbuan menerusi Op Dadu itu dilakukan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai oleh Inspektor Hendry.
“Dalam serbuan tersebut, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 39 tahun yang beralamat di Roban ketika dia sedang berada di kawasan tempat letak kereta berkenaan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian tersebut.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, pihak polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk sekeping keratan kertas yang mengandungi catatan nombor loteri awam haram, sebatang pen dakwat hitam, serta wang tunai bercampur-campur yang berjumlah RM50,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, DSP Mathew menjelaskan, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek menunjukkan keputusan negatif.
“Siasatan awal pihak polis mendapati subjek mengaku bertindak sebagai agen jualan nombor loteri awam haram di sekitar Pekan Roban bagi mendapatkan pendapatan sampingan memandangkan dia belum berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Suspek yang dikesan bergerak secara bersendirian semasa serbuan dilakukan itu mendedahkan bahawa dia baru sahaja menjalankan aktiviti haram tersebut sejak seminggu yang lalu dengan menyasarkan pelanggan di sekitar kawasan pekan Roban,” ujarnya.
Kes ini kini diklasifikasikan sebagai selesai dan disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
DSP Mathew turut menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi membanteras kegiatan judi haram di seluruh daerah itu.
Oleh Adi Safarman