SIBU: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) tidak akan melakukan kerja menyukat tanah di kawasan yang sedang terlibat dalam kes mahkamah.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata jika pemilik tanah menarik balik kes di mahkamah dan memohon pengukuran, kerajaan akan melaksanakan pengukuran tersebut.
“Kerja mengukur Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah percuma selagi penuntut dapat membuktikan kesahihan tanah mereka mengikut undang-undang.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan jaminan hak terhadap tanah mereka dan mengelakkan sebarang pencerobohan.
“Meskipun sebahagian tanah digunakan untuk pembangunan seperti jalan raya, menara telekomunikasi, atau sekolah, kerajaan akan mengambil alih bagi tujuan tersebut.
“Jika tanah berkenaan telah disukat di bawah Seksyen 6 atau 18, atau jika belum disahkan tetapi ada bukti ia adalah tanah adat, pampasan akan dibayar selaras dengan Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Seksyen 13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Warta Komunal Rizab Seksyen 6 KTN dan Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan Sibu di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.
Awang Tengah berkata kerajaan akan meneruskan program Pengukuran NCR Inisiatif Baharu bagi memastikan hak rakyat terhadap tanah NCR terjamin.
Sebanyak 574 penerima dari kawasan Sibu, termasuk Sebindang Oya, Igu Tamin, Pasai Siong, dan Kawasan B: Tebalang/ Batang Penyudah dan Batang Oya, telah menerima 768 surat hak milik tanah melibatkan keluasan 2,055 hektar.
Pada majlis itu, Awang Tengah menyerahkan Warta Komunal Rizab Seksyen 6 KTN kepada 20 penerima bagi kawasan Sungai Pasai Besai, Sibu untuk kawasan DUN Nangka di bawah Parlimen Sibu yang berkeluasan 413 hektar.
Beliau juga turut menyampaikan warta kepada enam penerima bagi kawasan Batang Igan Matu, Ulu Sungai Sebalau dan Sungai Sebedil yang berkeluasan 248 hektar.
Hadir sama ialah ADUN Tamin Christopher Gira Sambang, Pemangku Tanah dan Survei Sarawak Ramzi Abdillah dam Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) Jasni Jubli.
Oleh TARANI LANTING