SERIAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Serian menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tebedu dalam usaha memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi.
Kunjungan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat JPJ Cawangan Serian itu diketuai oleh Ketua Pejabat Kastam Tebedu, Zakaria Zaidan, dan disambut oleh Ketua Cawangan JPJ Serian, Othman Mohamad bersama Ketua Stesen Penguat Kuasa JPJ Serian, Juti Dungau.

Pertemuan berkenaan menjadi platform untuk mempererat hubungan antara kedua-dua agensi, selain membincangkan usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam menerusi kerjasama lebih erat dalam aspek penguatkuasaan serta perkongsian maklumat.
Selain bertukar pandangan mengenai isu berkepentingan bersama, kedua-dua pihak turut meneliti langkah memperkukuh penyelarasan operasi bagi memastikan pelaksanaan tugas dapat dijalankan secara lebih bersepadu, profesional dan berkesan.
Kerjasama yang terus diperkasakan itu diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua agensi, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, berintegriti serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Turut hadir pegawai JKDM Tebedu dan pegawai JPJ Cawangan Serian.





