JPJ Sarawak perkasa penguatkuasaan menerusi Ops Motosikal dan PEWA

Facebook
WhatsApp
DISITA… Sebuah kereta disita selepas didapati dipandu oleh seorang warga asing yang tidak memiliki lesen memandu sah dalam operasi penguatkuasaan JPJ Sarawak. Foto JPJ Sarawak

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Tim Delta JPJ Kuching terus mempergiat operasi penguatkuasaan melalui Ops Motosikal dan Pemandu Warga Asing (PEWA) di sekitar bandar raya ini bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

Operasi yang dilaksanakan pada Selasa itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan penunggang motosikal dan pemandu warga asing, selain memastikan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan selamat serta mematuhi piawaian keselamatan jalan raya.

PEMERIKSAAN… Anggota JPJ Sarawak menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan semasa Ops Motosikal dan Pemandu Warga Asing (PEWA) di sekitar bandar raya Kuching bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya. Foto JPJ Sarawak

Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 115 kenderaan pelbagai jenis diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan, antaranya memandu tanpa lesen sah, tiada lesen memandu vokasional, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan teknikal kenderaan.

Dalam operasi sama, sebuah kereta turut disita selepas didapati dipandu oleh seorang warga asing yang tidak memiliki lesen memandu sah.

SEMAKAN DOKUMEN… Anggota JPJ Sarawak memeriksa dokumen seorang penunggang motosikal dalam Ops Motosikal dan Pemandu Warga Asing (PEWA) bagi mengesan kesalahan berkaitan pematuhan peraturan jalan raya. Foto JPJ Sarawak

Tindakan penyitaan berkenaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

JPJ Sarawak menegaskan pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk kesalahan membabitkan pemandu warga asing.

Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya diingatkan supaya memastikan lesen memandu, LKM, perlindungan insurans serta dokumen berkaitan sentiasa sah sebelum memandu atau menunggang kenderaan bagi menjamin keselamatan bersama.