
SIMANGGANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak terus komited dalam mempertingkatkan agenda keselamatan jalan raya menerusi penganjuran program advokasi berterusan yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Menurut kenyataan media JPJ Sarawak, inisiatif terbaharu itu dilaksanakan melalui JPJ Cawangan Sri Aman yang telah mengadakan Program Ceramah Keselamatan dan Kesedaran di Jalan Raya sempena sambutan Minggu Kecemerlangan HSSE 2026 yang berlangsung di sini, hari ini.
Program yang mendapat sambutan menggalakkan itu diadakan bertujuan memberi pendedahan meluas kepada para peserta mengenai kepentingan menjaga keselamatan diri dan pengguna lain ketika berada di jalan raya.
Selain itu, ia juga berfungsi sebagai platform penting bagi memupuk budaya pemanduan yang berhemah serta meningkatkan tahap kesedaran terhadap pematuhan undang-undang jalan raya yang sedang berkuat kuasa dalam kalangan masyarakat setempat.
Sepanjang program itu berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aspek dan tips keselamatan jalan raya yang kritikal, termasuk kepentingan pemakaian tali pinggang keledar dan mengelakkan penggunaan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan ketika memandu.

Turut ditekankan dalam ceramah berkenaan adalah bahaya serta larangan memandu dalam keadaan mengantuk yang sering menjadi punca kemalangan maut, di samping amalan pemakaian topi keledar dengan betul bagi penunggang dan pembonceng motosikal.
Secara keseluruhannya, program berkenaan telah berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektif penganjuran utama dalam menanamkan prinsip “Keselamatan Bermula Dengan Anda” ke dalam sanubari setiap peserta yang hadir.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut dan berharap usaha advokasi seperti ini dapat diteruskan secara konsisten demi mewujudkan budaya pemanduan yang selamat, berhemah, serta berintegriti.
Oleh Adi Safarman