JPJ Bintulu kesan pelbagai kesalahan menerusi Ops Motosikal , HID/LED

Facebook
WhatsApp
PEMERIKSAAN DIJALANKAN… Anggota JPJ Sarawak Cawangan Bintulu menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan menerusi Ops Motosikal dan HID/LED secara statik di Jalan Tun Ahmad Zaidi, Bintulu, bagi memastikan pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang yang ditetapkan. Foto JPJ Sarawak

BINTULU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Cawangan Bintulu terus mempergiat penguatkuasaan undang-undang jalan raya menerusi pelaksanaan Ops Motosikal dan HID/LED secara statik di Jalan Tun Ahmad Zaidi, di sini, semalam.

Operasi berkenaan bertujuan meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan yang ditetapkan, selain memastikan kenderaan yang berada di jalan raya berada dalam keadaan selamat serta mematuhi spesifikasi teknikal ditetapkan.

SEMAKAN DOKUMEN… Anggota JPJ Sarawak Cawangan Bintulu memeriksa dokumen sebuah motosikal ketika melaksanakan Ops Motosikal dan HID/LED di Bintulu. Foto JPJ Sarawak

Sepanjang operasi itu dijalankan, sebanyak 355 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan, termasuk memandu tanpa lesen memandu sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, pemeriksaan PUSPAKOM luput, tiada perlindungan insurans serta pelbagai kesalahan berkaitan aspek teknikal kenderaan.

Semua kesalahan yang dikenal pasti telah dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

TINDAKAN PENGUATKUASAAN… Seorang pengguna jalan raya melengkapkan urusan selepas dikenakan tindakan atas kesalahan yang dikesan menerusi Ops Motosikal dan HID/LED oleh JPJ Sarawak di Bintulu. Foto JPJ Sarawak

JPJ Sarawak memaklumkan operasi seumpama itu akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang sentiasa berada pada tahap optimum.

Pada masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memastikan lesen memandu, LKM, perlindungan insurans, pemeriksaan PUSPAKOM serta keadaan teknikal kenderaan masing-masing sentiasa sah dan mematuhi spesifikasi ditetapkan sebelum menggunakan kenderaan di jalan raya.