

KABONG: Sempena Aidilfitri yang bakal tiba, Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Kabong akan mengadakan Program SABERKAS Prihatin: Jom Ngesep Menjelang Hari Rayo (gunting rambut percuma).
Menurut jurucakap penganjur, Nur Elffi Amir, program tersebut akan diadakan di empat lokasi iaitu Kabong, Gerigat, Sessang dan Emplam pada Ahad ini.
“Program yang bermula dari 9.00 pagi itu terhad kepada seramai 300 penduduk, gunting rambut secara percuma di empat lokasi yang ditetapkan.
“Ia bertujuan meringankan beban penduduk dalam menyambut ketibaan Syawal tidak lama lagi,” katanya.
Secara umumnya, selain kedai-kedai menjual pakaian, kedai gunting rambut juga menjadi tumpuan golongan lelaki.
“Jadi kita (SABERKAS Kabong) ambil inisiatif untuk tawarkan kepada penduduk di sekitar DUN Kabong ini untuk bersama-sama dalam program ini,” jelasnya.
Malah, kegembiraan masyarakat yang bakal menyambut Aidilfitri kian terasa apabila menggunting rambut pada hari-hari terakhir Ramadan.
Bagi menyertai program ini, penduduk perlu mendapatkan kupon gunting rambut percuma terlebih dahulu melalui urus setia esok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan ahli jawatankuasa SABERKAS Cawangan Kabong.
OLEH ADI SAFARMAN