SIBU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sibu telah mengagihkan sebanyak 148 bakul makanan kepada penduduk di Sentosa Salim yang terjejas akibat banjir serta terputus hubungan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, bantuan tersebut disalurkan dalam tempoh tiga hari selepas perbincangan bersama Residen Sibu bagi memastikan keperluan mangsa banjir dapat dipenuhi dengan segera.
“Memandangkan Sentosa merupakan sebuah komuniti berbilang kaum, kami membahagikan pasukan kepada tiga kumpulan, iaitu komuniti Melayu-Melanau, komuniti Cina, dan komuniti Iban.
“Setiap kumpulan turun padang untuk meninjau keadaan serta membantu dalam proses pendaftaran mangsa banjir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengagihan bakul makanan di SK Sentosa, hari ini.
Beliau berkata, isu berkaitan situasi banjir di Sibu turut dibangkitkan kepada Premier Sarawak baru-baru ini, dengan menekankan perbezaan keadaan di Sibu berbanding Bintulu dan Miri.
“Kebanyakan penduduk yang terjejas memilih untuk berpindah ke tingkat atas rumah atau menumpang di rumah saudara-mara berbanding ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), menjadikan usaha penyaluran bantuan lebih mencabar,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, fasa dua bagi Pelan Tebatan Banjir Sentosa kini dalam proses reka bentuk oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak dan dijangka siap pada penghujung April.
Bagaimanapun, katanya, kemungkinan berlaku kelewatan berikutan hujan lebat berterusan yang boleh menjejaskan tempoh pelaksanaan projek.
“Kami masih memerlukan fasa dua ini bagi menangani isu pengurusan air di kawasan Sentosa secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk Kampung Usahajaya Baru dan Sentosa agar bersabar sepanjang tempoh pembinaan yang mungkin menyebabkan gangguan lalu lintas serta banjir kilat sementara.
“Pasukan saya sentiasa memantau keadaan dan berkomunikasi dengan pihak kontraktor bagi memastikan kelancaran kerja. Setiap kali hujan turun, kami segera mengarahkan kontraktor membuka sistem perparitan bagi memastikan aliran air tidak tersekat,” tambahnya.
Chieng turut melahirkan rasa sedih melihat keadaan rumah penduduk yang dimasuki air, dengan paras banjir di beberapa bilik tidur mencecah setinggi satu kaki.
“Saya menyeru semua penduduk Sentosa agar sentiasa berwaspada kerana keadaan cuaca dijangka berterusan selama seminggu lagi. Selain itu, berhati-hati dengan risiko kemunculan haiwan berbahaya seperti ular semasa banjir,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Semawi Mohamad.
Oleh Tarani Lanting