JKKK Sungai Sadit Kanan ambil inisiatif pasang lima lampu solar

Facebook
WhatsApp
LAU… ketika meninjau kerja-kerja pemasangan lima lampu solar di sepanjang Jalan Nam Ping Chiong 3, Jalan Mawah dan Jalan Kwong Hua.

SIBU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Sadit Kanan mengambil inisiatif menggunakan dana sendiri untuk memasang lima lampu solar di beberapa lokasi sekitar kawasan berkenaan.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, dua lampu solar masing-masing dipasang di sepanjang Jalan Nam Ping Chiong 3 dan Jalan Mawah, manakala satu lagi dipasang di Jalan Kwong Hua.

“Walaupun hanya lima lampu dipasang, kami berharap ia dapat memberi manfaat kepada penduduk yang memerlukannya.

“Ini juga mencerminkan semangat pemimpin masyarakat yang prihatin terhadap keperluan rakyat dan komited mengambil tindakan bagi menangani isu yang dihadapi,” ujarnya.

Lau menyifatkan inisiatif JKKK berkenaan sebagai contoh keprihatinan pemimpin masyarakat terhadap keperluan penduduk di peringkat akar umbi.

Katanya, pembangunan komuniti tidak semestinya memerlukan projek berskala besar, sebaliknya boleh dimulakan dengan tindakan kecil yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

“Lampu solar mungkin kelihatan seperti sumbangan kecil, tetapi bagi penduduk yang bergerak pada waktu malam, ia mampu memberikan kemudahan dan rasa lebih selamat,” katanya.

Beliau turut menyeru pemimpin masyarakat supaya sentiasa mendekati penduduk, mendengar permasalahan serta memahami keperluan sebenar di peringkat akar umbi.

Katanya, hubungan rapat dengan masyarakat penting bagi memastikan setiap usaha penambahbaikan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan penduduk.

“Saya berharap pemimpin masyarakat terus mengekalkan semangat berkhidmat dan bekerjasama dengan penduduk dalam usaha meningkatkan persekitaran kehidupan serta mewujudkan komuniti yang lebih selamat dan selesa,” katanya.

Oleh Akun Giman