KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang menjalankan siasatan berhubung penggunaan logo jabatan pada sebuah kenderaan yang tular di media sosial dan dipandu seorang individu warga asing.
JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semakan awal mendapati kenderaan berkenaan bukan milik atau aset rasmi jabatan.
Menurutnya, penggunaan logo JIM pada kenderaan terbabit dipandang serius kerana boleh menimbulkan kekeliruan serta salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta tujuan penggunaan logo JIM pada kenderaan berkenaan,” katanya.
JIM berkata, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran.
Jabatan itu turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti JIM yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej serta integriti jabatan.
Dalam pada itu, JIM menghargai keprihatinan orang ramai yang menyalurkan maklumat berhubung perkara berkenaan dan memberi jaminan siasatan akan dilaksanakan dengan sewajarnya.



