SIBU, 20 November: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, hari ini mengumumkan Stanley Chiew Sung Ngie dan Irene Wong Lee Ting sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek dan Pelawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Menurut Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, parti itu akan menumpukan jentera dan sumbernya kepada kedua-dua kerusi berkenaan dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi.
Katanya, kedua-dua calon dipilih berdasarkan pengalaman mereka berkhidmat kepada masyarakat setempat.
“Chiew merupakan pembantu khas kepada Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng, manakala Wong ialah pembantu khas kepada Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew.
“Dalam tempoh lima tahun lalu, suara alternatif dari Sibu di DUN amat terhad.
“Kami berharap rakyat memberi peluang kepada mereka untuk membawa pandangan penduduk Sibu ke DUN,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sibu, Rejang Park, di sini, hari ini.
Chong berkata, Wong yang dilahirkan selepas tahun 2000 merupakan calon pertama DAP Sarawak daripada Generasi Z.
Beliau berharap pencalonan itu dapat membuka ruang lebih luas kepada golongan muda untuk menyuarakan pandangan mereka di peringkat DUN.
Ditanya mengenai peluang DAP merampas semula kedua-dua kerusi berkenaan, Chong enggan membuat sebarang ramalan, sebaliknya menegaskan parti itu akan berusaha mendapatkan kepercayaan pengundi.
Katanya, jumlah keseluruhan kerusi yang akan ditandingi DAP Sarawak akan diumumkan secara berperingkat.
Pengumuman calon bagi kawasan selatan Sarawak pula dijadualkan berlangsung pada 22 November ini di Kuching, diikuti calon bagi kawasan utara Sarawak (Miri dan Bintulu) pada 23 November di Miri.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama politik DAP dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Chong berkata, tiada sebarang perjanjian kerjasama rasmi antara kedua-dua parti.
Bagaimanapun, katanya, DAP akan berusaha mengelakkan pertembungan dengan PBDS di kerusi yang ditandingi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian pada 12 Disember ini.
Oleh Akun Giman




