Abang Johari beri bayangan Dr Annuar pertahan Nangka

Facebook
WhatsApp
PREMIER SARAWAK.....Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baharu Kemuyang, Masjid Al-Hidayah, hari ini.

SIBU, 20 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee berkemungkinan besar diberi peluang mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Pemier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan itu ketika ditanya mengenai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, senarai rasmi calon GPS hanya akan diumumkan pada 25 November ini.

“Ya, kita belum sahkan lagi. Saya akan sahkan pada 25 November kelak. Untuk Nangka, kemungkinan kita akan letakkan Datuk Dr Annuar,” jelasnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baharu Kemuyang, Masjid Al-Hidayah, di sini, hari ini.

Mengulas pemilihan calon, Abang Johari berkata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus melaksanakan proses pemupukan kepimpinan pelapis dengan memberi peluang kepada golongan muda untuk mengembangkan potensi mereka.

Katanya, usaha itu merupakan sebahagian daripada proses pembangunan kepimpinan parti bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pentadbiran negeri.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atas keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRN13.

Menurutnya, keputusan itu merupakan langkah matang yang membantu mengekalkan kestabilan dan keharmonian politik di Sarawak.

Oleh Akun Giman