Jerebu: Kes konjunktivitis, jangkitan saluran kencing meningkat di Sarawak

Facebook
WhatsApp
DR. Veronica Lugah ketika sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) berkaitan jerebu di Pusat Kawalan Bencana Negeri di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Kes jangkitan saluran kencing dan konjunktivitis di Sarawak menunjukkan peningkatan sejak awal Ogos susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah, berkata peningkatan kes mula dikesan pada minggu pertama Ogos sebelum memuncak pada minggu kedua bulan berkenaan.

“Pemantauan penyakit berkaitan jerebu sebenarnya dijalankan sepanjang tahun, tetapi kita dapat melihat peningkatan kes, terutama bagi jangkitan saluran kencing dan konjunktivitis, bermula minggu pertama Ogos dan memuncak pada minggu kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) berkaitan jerebu di Pusat Kawalan Bencana Negeri di Petra Jaya, hari ini.

Menurutnya, setakat ini tiada peningkatan ketara kes asma dikesan secara keseluruhan. Bagaimanapun, Jabatan Kecemasan Hospital Umum Sarawak mencatatkan sedikit peningkatan kes asma pada minggu ketiga dan keempat Ogos.

Sehubungan itu, Dr Veronica menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah dan, jika boleh, berada di dalam rumah dengan memastikan pintu serta tingkap ditutup bagi mengelakkan pencemaran udara memasuki kediaman.

Orang ramai turut disarankan memakai pelitup muka yang sesuai, terutama respirator N95, yang lebih berkesan dalam menapis zarah halus PM2.5.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan memastikan pengambilan air yang mencukupi sepanjang hari serta menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci muka dan tangan menggunakan sabun dan air.

Dr Veronica berkata, golongan berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai penyakit paru-paru atau jantung, kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta pekerja luar perlu lebih berhati-hati sepanjang tempoh jerebu.

Katanya, mereka yang mengalami gejala seperti batuk, kesukaran bernafas, sakit dada, kerengsaan mata yang teruk atau asma yang semakin teruk perlu mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

“Tidak semestinya perlu pergi ke Jabatan Kecemasan kerana klinik juga boleh memberikan rawatan bagi keadaan kesihatan berkenaan,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat