Jerebu: Dr Sim gesa rakyat kembali pakai pelitup muka

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Dr Sim Kui Hian ketika ditemui media mengulas situasi jerebu dan langkah penjagaan kesihatan yang perlu diambil orang ramai selepas menghadiri acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawa, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Rakyat Sarawak digesa kembali memakai pelitup muka dan mengurangkan aktiviti luar susulan keadaan jerebu yang semakin memburuk, terutama apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata orang ramai perlu mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan diri dan tidak hanya bergantung kepada hospital serta klinik kesihatan apabila keadaan menjadi serius, walaupun keadaan jerebu ketika ini hanya bersifat sementara.

Katanya, golongan berisiko termasuk warga emas, individu yang mempunyai penyakit pernafasan, asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), pesakit kanser, individu dengan sistem imun lemah serta pesakit diabetes perlu mengambil langkah pencegahan lebih awal.

“Kalau anda mempunyai penyakit pernafasan, asma atau COPD, anda sepatutnya sudah mula menggunakan ubat sedutan pencegahan. Jangan tunggu sehingga mula sakit kerana keadaan boleh menjadi lebih teruk dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawa, di sini, hari ini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, apabila IPU melebihi 200, aktiviti luar perlu diminimumkan dan sekiranya terdapat keperluan untuk berada di luar, orang ramai perlu memakai pelitup muka serta menyediakan titisan mata sekiranya mengalami kegatalan atau iritasi.

Katanya, masyarakat juga perlu mengurangkan aktiviti tidak penting di luar rumah sehingga keadaan jerebu kembali reda.

“Tidak perlu ke sana sini hari ini sehingga jerebu berkurangan. Keadaan ini bukan akan berterusan selama-lamanya, tetapi buat masa ini kita perlu berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sim berkata kerajaan negeri turut mengambil langkah mengurangkan pendedahan kakitangan dan pekerja kepada jerebu dengan mengarahkan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta agensi kerajaan lain menilai semula kerja luar.

Menurutnya, kerja luar yang tidak kritikal perlu disusun semula atau dipindahkan ke dalam bangunan bagi mengelakkan pendedahan tidak perlu kepada keadaan jerebu.

“Kerja luar, kecuali yang benar-benar perlu seperti paip air pecah, perlu diberi keutamaan semula. Kita tidak mahu mendedahkan kakitangan dan pekerja kepada keadaan ini secara tidak perlu,” katanya.

Dr Sim berkata, jabatan kesihatan, hospital dan klinik kesihatan di Sarawak telah diarahkan sejak awal Ogos supaya bersiap sedia serta meningkatkan keupayaan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes berkaitan jerebu.

Katanya, dengan keadaan jerebu yang semakin teruk, peningkatan masalah kesihatan berkaitan pencemaran udara adalah sesuatu yang dijangka berlaku.

“Kalau jerebu begitu teruk tetapi tiada peningkatan kes, itu yang tidak normal. Kita semua manusia. Kalau kesihatan orang di Indonesia terjejas, tidak ada sebab rakyat Sarawak tidak akan terjejas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan perlu disertai tindakan proaktif orang ramai untuk melindungi diri masing-masing.

Dr Sim berkata, individu yang mengalami keadaan asma semakin teruk atau masalah pernafasan tidak seharusnya menunggu di rumah, sebaliknya perlu segera mendapatkan rawatan di hospital.

“Hospital mahu membantu anda, tetapi anda perlu datang kepada mereka. Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata zarah halus dalam jerebu boleh menyebabkan iritasi apabila disedut dan seterusnya mencetuskan masalah pada paru-paru, terutama dalam kalangan golongan rentan.

Dalam pada itu, Dr Sim berkata keadaan jerebu yang berlaku ketika ini turut berkait dengan pencemaran rentas sempadan, selain faktor perubahan iklim yang menyebabkan kejadian kebakaran hutan dan belukar menjadi semakin serius di beberapa bahagian dunia.

Katanya, Sarawak pada masa sama perlu memastikan negeri ini tidak menyumbang kepada masalah jerebu dan terus mengambil langkah mencegah pembakaran yang boleh memburukkan keadaan.

Beliau turut berharap pihak Indonesia dapat mengambil langkah sewajarnya bagi menangani punca jerebu rentas sempadan.

Menurutnya, hujan mungkin membantu memperbaiki kualiti udara buat sementara waktu, namun keadaan itu boleh kembali sekiranya punca pencemaran tidak ditangani.

“Walaupun hujan, ia hanya membantu untuk seketika dan jerebu boleh kembali. Kita perlu menangani masalah di puncanya,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan pengisytiharan darurat susulan keadaan jerebu, Dr Sim berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, JPBN mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri berhubung tahap dan tindakan yang perlu diaktifkan berdasarkan keadaan semasa.

Dr Sim berkata, buat masa ini perkara paling penting ialah orang ramai mengambil tanggungjawab menjaga kesihatan diri.

“Jaga diri sendiri. Dan jangan jumpa di hospital,” katanya secara berseloroh sambil menegaskan masalah pernafasan boleh menjadi serius dalam tempoh singkat.

Ketika ini, JPBN terus memantau perkembangan jerebu dan akan menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan serta NADMA sekiranya bacaan IPU mencapai tahap kritikal 400 hingga 500.

Orang ramai turut dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, kekal di dalam rumah dan memakai pelitup muka N95 jika perlu berada di luar, selain memantau bacaan IPU melalui saluran rasmi serta mengelakkan pembakaran terbuka.

Sebarang penganjuran aktiviti luar di kawasan yang mencatatkan IPU melebihi 200 juga disaran dinilai semula atau ditangguhkan demi mengutamakan keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Oleh Afiq Sallehi