PETRA JAYA: Sarawak menggunakan saluran diplomatik sedia ada bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang dipercayai berpunca daripada aktiviti kebakaran di Kalimantan, Indonesia, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) berkata, isu berkenaan merupakan perkara diplomatik dan tidak wajar ditangani menerusi pendekatan secara terus dengan pihak Kalimantan.
Katanya, Malaysia mempunyai mekanisme sedia ada menerusi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang menjadi saluran untuk membincangkan langkah menangani masalah jerebu ketika musim panas dan kering.
“Saya mesti tekankan di sini, isu ini adalah isu diplomatik. Di Malaysia, kita ada Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ASEAN.
“Jadi apabila berlaku musim panas dan kering seperti sekarang dan berlaku jerebu, itulah tempatnya untuk berbincang bagaimana hendak mengatasi masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SDMC berkaitan jerebu di Pusat Kawalan Bencana Negeri di sini, hari ini.
Uggah berkata, beliau sendiri telah berbincang dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berhubung usaha menangani isu berkenaan.
Menurutnya, perbincangan turut berlaku di peringkat Kerajaan Persekutuan menerusi saluran sedia ada, termasuk ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berada di Brunei baru-baru ini.
Katanya, isu jerebu di Asia antara perkara yang turut dibincangkan dalam pertemuan berkenaan, termasuk langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah tersebut.
Dalam pada itu, Uggah menolak dakwaan bahawa Sarawak perlu pergi ke Kalimantan untuk mengadakan perbincangan secara langsung bagi menyelesaikan isu jerebu.
“Kalau ada kenyataan mengatakan kita akan pergi ke Kalimantan untuk berbincang, saya fikir itu adalah satu gambaran yang tidak tepat. Kita menggunakan saluran diplomatik dan saya yakin kita akan dapat menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Beliau berkata, analisis pemantauan serantau dan satelit terkini menunjukkan aktiviti kebakaran yang ketara di beberapa bahagian Kalimantan, dengan asap jerebu berpotensi memberi kesan kepada Sarawak.
Malah, katanya, pergerakan angin membawa jerebu dari arah Kalimantan memasuki Sarawak.
Berdasarkan pemantauan pada 29 Ogos, Sarawak merekodkan sembilan titik panas berbanding 1,180 di Kalimantan dan 18 di Sumatera.
Bagi tempoh Januari hingga 30 Ogos 2026 pula, Sarawak merekodkan 302 titik panas, termasuk 186 pada Ogos, berbanding 15,587 titik panas di Kalimantan, dengan 13,212 daripadanya dikesan pada Ogos.
Uggah berkata, Sarawak pada masa sama akan terus mengambil tindakan terhadap titik panas di negeri ini menerusi kerjasama agensi penguat kuasa dan pengurusan bencana di peringkat bahagian serta daerah.
Oleh Shahrul Qaizat




