‘Pen kurus’ Retatrutide belum diluluskan, orang ramai diingatkan jangan terpedaya – KKM

Facebook
WhatsApp
WASPADA dengan penawaran 'pen kurus' yang tular di media sosial. Elakkan membeli produk kesihatan atau ubat-ubatan yang belum diluluskan oleh pihak berkuasa. Foto janaan AI

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan ‘pen kurus’ yang didakwa mengandungi Retatrutide atau Reta kerana tiada produk berasaskan ubat itu yang berdaftar untuk digunakan di Malaysia.

KKM menjelaskan Retatrutide masih merupakan ubat percubaan yang sedang menjalani kajian klinikal fasa tiga.

“Sehingga 17 Ogos 2026, belum ada produk mengandungi Retatrutide yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk digunakan di Malaysia.

“Retatrutide merupakan ubat percubaan yang sedang melalui kajian klinikal fasa tiga dan belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana pihak berkuasa kawal selia di dunia,” menurut KKM dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian itu, penjualan produk penurunan berat badan secara dalam talian semakin membimbangkan, termasuk ubat suntikan yang ditawarkan terus kepada orang awam tanpa pemeriksaan, preskripsi atau pemantauan pengamal perubatan berdaftar. 

“Penggunaan produk atau ubat sedemikian tanpa penilaian dan pemantauan perubatan yang sewajarnya boleh menyebabkan kesan advers serta komplikasi yang serius,” menurut KKM.

KKM menjelaskan risiko itu boleh menjadi lebih buruk sekiranya kesan advers atau komplikasi yang dialami pengguna tidak dikenal pasti dan dirawat dengan segera.

KKM memaklumkan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menerima 65 aduan dan melaksanakan 30 serbuan berkaitan produk penurunan berat badan, termasuk 17 serbuan membabitkan penjualan dalam talian dengan nilai rampasan keseluruhan RM477,142 bagi tempoh Januari hingga Julai lepas.

“Sepanjang 2026, sebanyak 209 iklan produk penurunan berat badan, termasuk produk yang dikatakan mengandungi Retatrutide, telah diturunkan daripada platform e-dagang. Selain itu, sebanyak 1,243 iklan di pelbagai saluran media telah dikenal pasti, disaring dan diambil tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya memastikan produk penurunan berat badan yang ingin dibeli telah berdaftar dan diluluskan untuk kegunaan berkenaan serta diperoleh daripada sumber yang sah.

Status pendaftaran produk boleh disemak menerusi fungsi ‘Product Search’ di laman sesawang Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), manakala ketulenan hologram FarmaTag boleh disahkan menggunakan FarmaChecker dalam aplikasi MyUBAT.

KKM memaklumkan penjualan ubat tidak berdaftar merupakan kesalahan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 [Akta 368] dan peraturan-peraturan berkaitan, yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama serta RM100,000 bagi kesalahan berikutnya. – Bernama