PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini bersetuju bahawa Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020 akan dibuat pengelasan semula dan didedahkan hari ini.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata Laporan ini juga, akan dibentangkan dan dibahaskan pada satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
“Jemaah Menteri hari ini telah diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi laporan RCI mengenai TH dari 2014 hingga 2020.
“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa Laporan ini telah menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan dan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripada syor tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berhubung TH kepada umum, setelah dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Anwar sebelum ini berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat, bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.
Sementara itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri hari ini turut mengambil maklum bahawa TH telah mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus menunjukkan bahawa pengurusannya kini berada dalam keadaan lebih baik.
“Jemaah Menteri memutuskan bahawa siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan berdasarkan laporan ini akan diteruskan serta-merta dan pihak-pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan, sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan sebelum ini berkata keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan RCI itu, akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.- Bernama





