

LINGGA: Program Jelajah Raya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga diteruskan pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata pada tahun ini sebanyak 11 lokasi penganjuran program Jelajah Raya yang dianjurkan oleh JKKK di kawasan DUN Lingga pada tahun ini.
Katanya, lokasi pertama Jelajah Raya JKKK Lingga pada tahun ini, iaitu di Kampung Hilir Stumbin semalam dan akan berakhir di Kampung Lemanak pada 26 April nanti.
“Program Jelajah Raya JKKK DUN Lingga yang memasuki edisi keempat yang dianjurkan ini menjadi platform terbaik bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
“Ia menyaksikan semangat kerjasama yang tinggi antara masyarakat bagi menjayakannya. Ini adalah semangat yang kita mahu lihat setiap kali penduduk menganjurkan aktiviti terutamanya gabungan antara JKKK,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Raya yang dianjurkan oleh JKKK Kampung Hilir Stumbin di Dewan Bunga Raya Kampung Hilir Stumbin, semalam.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah berkata projek pemasangan lampu solar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga akan dilakukan secara berfasa dengan menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Projek pemasangan lampu solar ini dijangka akan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, khususnya pada waktu malam, sekali gus memberikan manfaat besar kepada komuniti setempat.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha pembangunan DUN Lingga, yang dirancang untuk mempertingkatkan infrastruktur dan kualiti hidup penduduk di kawasan tersebut,” katanya.
Turut hadir ialah Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Penghulu Rosli Ana dan Ketua Kaum Kampung Hilir Stumbin Omar Rajak.
Oleh Adi Safarman