LINGGA: Program Jelajah Gawai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga akan diteruskan pada 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata program jelajah yang julung kalinya diadakan pada tahun ini akan diteruskan di 16 lokasi di kawasan DUN Lingga.
“Program Jelajah Gawai DUN Lingga akan diteruskan, pada tahun ini sebanyak 16 lokasi kita telah adakan, jadi pada tahun depan kita akan teruskan di lokasi yang sama.
“Program ini telah mendapat sambutan yang sangat positif dan ia merupakan langkah menyantuni rakyat dan mengenal pasti keperluan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan ‘Gawai Mangkung Tiang’ di Rumah Mancha Uchang, Tawang Tanjung Bijat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, rumah panjang tersebut yang dipimpin oleh Tuai Rumah Mancha Unchang itu mempunyai sebanyak 42 pintu dan menempatkan sekitar lebih 80 penghuni, telah selesai dibina sepenuhnya pada 2022.
Sementara itu, beliau menjelaskan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga akan menubuhkan Biro Pesaka Lingga untuk mengurus hal-hal yang berkaitan Pesaka di kawasan DUN Lingga dalam aktiviti sosial dan kebajikan.
“Sebagai parti tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita memerlukan satu pasukan yang kuat dan ampuh dalam kita menjadikan parti ini lebih kuat dan diterima oleh orang ramai,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan projek melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM300,000 untuk menaik taraf Dataran Kejat di Blok A dan Blok B Rumah Mancha Uchang.
Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan PBB Lingga, Suhaidi@Roslan Los, Ketua Penerangan PBB Cawangan Lingga, Zakaria Othman dan Tuai Rumah Mancha Uchang.
Oleh ADI SAFARMAN