KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk meneruskan “Jejak, Uji, Kuarantin dan Isolasi” apabila terdapatnya kes positif dan mengekalkan tempoh kuarantin 14 hari bagi mereka yang memasuki Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perbahasan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) berbanding Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) semakin hangat akhir-akhir ini.
Katanya, sejak Januari, polisi kuarantin 14 hari telah mengesan 60 kes positif yang kembali dari luar negara (Import A) dan 270 kes positif yang kembali dari Negeri lain (Import B).
“Saya ingin meyakinkan anda (rakyat) bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah membuat penilaiannya di lapangan dan telah menjelaskan bahawa sepanjang pengalaman mereka dengan PKP di Sibu, mereka mengalami kesukaran dari segi penguatkuasaan.
“Dengan melaksanakan PKP untuk Sarawak, ia akan membebankan banyak industri dan ramai orang hilang pekerjaan.
“Namun, ada juga keperluan untuk kita mengambil langkah drastik untuk memutuskan rantaian, supaya keadaan tidak terus menekan sumber dari segi kesihatan kita yang terhad di samping tenaga kerja kita mencecah tahap keletihan,” katanya pada sidang media khas pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, semalam.
Jelasnya, setelah mempertimbangkan semua isu dan menilai risiko yang perlu dihadapi, JPBN telah memutuskan untuk terus melaksanakan operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah yang disasarkan.
Menurutnya, ia adalah kerana langkah ini terbukti berhasil di rumah panjang, kawasan kejiranan dan tempat kerja sebelum ini.
Selain itu, pergerakan rentas antara daerah juga merupakan penyumbang utama penularan Covid-19.
“Setakat ini, terdapat 506 kes positif yang dikesan dan lapan kluster muncul kerana perjalanan rentas antara daerah (Import C) sejak Januari 2021.
“Setelah menilai peningkatan jumlah kes tempatan bagi kes-kes Import C Covid-19, saya telah mengarahkan agensi penguatkuasaan seperti PDRM, UKPN, ATM, APM dan RELA untuk mengetatkan kawalan perjalanan rentas daerah.
“Oleh itu, mulai hari ini, hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan melintasi zon dengan kebenaran polis,” ujarnya.
Beliau turut berkata, terdapat beberapa sebab lain yang menyebabkan peningkatan kes iaitu berkaitan dengan kurangnya pematuhan SOP terutamanya melalui Perhimpunan Sosial.
“Sehingga kini, perhimpunan seperti pengebumian telah merekodkan 3,612 kes positif dari lapan kluster, dengan 31 kematian.
“Perhimpunan lain seperti perjumpaan keluarga, pesta ulang tahun, pesta perpisahan, perjumpaan sempena perayaan, acara seperti gotong-royong dan laga ayam (sabong ayam), telah mengakibatkan 22 kluster, 1,053 kes positif dan 5 kematian.
Katanya, beliau turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang telah kehilangan orang-orang tersayang akibat Covid-19.
Oleh JEAKQLEYN YACHO