
SARIKEI: Junior Chamber International (JCI) Sarikei akan memanfaatkan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang diterima bagi memperluaskan pelaksanaan program pembangunan belia, kesukarelawanan dan khidmat masyarakat.
Presiden JCI Sarikei, Wong Siew Wu berkata, geran tersebut menjadi pemangkin kepada pertubuhan tersebut untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pertubuhan komuniti.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, melalui penyaluran geran khas MRP kepada JCI Sarikei.
“Sumbangan ini bukan sahaja membantu memperkukuh pelaksanaan program-program kami, malah menjadi pemangkin kepada JCI Sarikei untuk terus berbakti kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti.
“Kami berjanji akan menguruskan peruntukan ini secara berhemah, telus dan penuh tanggungjawab agar setiap program yang dilaksanakan benar-benar memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Pusat Khidmat Repok, hari ini.
Katanya, JCI Sarikei sentiasa komited melahirkan pemimpin muda yang berwibawa melalui pelbagai program pembangunan kepimpinan, keusahawanan, pendidikan, kelestarian alam sekitar dan kesukarelawanan.
“Kerjasama erat yang terjalin dengan pelbagai pihak selama ini membolehkan JCI Sarikei terus menganjurkan program yang memberi impak positif kepada golongan belia dan komuniti setempat.
“Geran khas MRP yang diterima akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kami akan terus memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memperluaskan pelaksanaan program pembangunan masyarakat di sini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli JCI Sarikei, rakan strategik dan sukarelawan yang sentiasa memberikan komitmen dalam menjayakan setiap program, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih progresif dan sejahtera.
Oleh Earl Anek