KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima perolehan tiga unit jentera baharu iaitu Compact Fire Rescue Tender (CFRT) bagi menggandakan kecekapan sedia ada.
Pemangku Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, jentera itu merupakan kesiapsiagaan JBPM untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan hingga Mac tahun depan.
Jelasnya, jentera tersebut lebih efisien digunakan di kawasan dan jalan yang sukar dilalui kerana saiznya yang lebih kompak berbanding jentera bomba sebelumnya yang lebih besar.
Tiong Ling Hii menambah, jentera CFRT akan diagihkan kepada tiga balai bomba iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan, BBP Kapit dan BBP Lopeng.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis Libat Urus Ketua-Ketua Zon dan Ketua-Ketua Balai 2024 di padang kawad Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan di sini, pagi tadi.
Sementara itu, ujarnya lagi, bagi menghadapi MTL tahun 2024 dan 2025, JBPM Sarawak bersiap sedia dengan kekuatan keanggotaan seramai 1,171 orang Pegawai dan Anggota (PSM), 291 Pegawai Bomba Bantuan(PBB), 2349 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang terdiri daripada 58 pasukan dan 9,187 ahli Bomba komuniti daripada 921 pasukan di setiap zon JBPM Negeri Sarawak.
Tambah beliau, dari segi kesiapsiagaan Aset dan peralatan pula, JBPM Sarawak siapsedia dengan pelbagai kekuatan logistik.
“Sebanyak 48 unit Utiliti Marin, 87 Kenderaan Utiliti, 17 Lori dan sebuah pesawat yang digunakan untuk pengoperasian,” katanya
“Sebanyak 38 Landing Point Pesawat di seluruh kawasan Sarawak.”
Mengulas lanjut beliau menyatakan bahawa JBPM Sarawak telah membuat penilaian Risiko dan mengenalpasti sebanyak 349 Kawasan “Hot Spot” Banjir di seluruh kawasan Sarawak.
Sejurus selepas itu, turut diadakan penyampaian sijil kepada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan yang telah mendapat naib johan dan tempat ketiga bagi pertandingan kawad kaki bagi acara Breathinh Apparatus Tactical Challenge Peringkat Kebangsaan 2024 pada 3 hingga 6 ogos 2024.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan lencana Fit Firefighter kepada 12 orang pegawai bomba Gred KB 19 dari balai bomba kawasan jagaan Pejabat Zon 1 yang mendapat keputusan cemerlang dalam ujian Kompetensi Teknikal Kebombaan (UKTK).
“Seramai 92 orang keseluruhan Pegawai Gred KB28-KB19 yang mendapat keputusan cemerlang UKTK JBPM Sarawak bagi Sesi 2024,” katanya.
Oleh Noor Ikmal