MIRI, 6 Oktober: Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam longkang sedalam kira-kira 1.5 meter di Jalan Miri Sentral di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Miri Sentral menuju ke Jalan Cahaya.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus sebelum memasuki laluan bertentangan, terbabas dan terjatuh ke dalam longkang.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Miri kira-kira 7.39 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nora Afifah Nordin, di talian 019-5264640 atau 085-430479, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Liong Chai Ling




