DEBAK: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak terus mempergiat usaha menghantar bekalan air kepada penduduk di kawasan terjejas susulan musim kemarau dan kekurangan sumber air yang melanda beberapa kawasan di Debak dan Betong.
Menurut kenyataan media JBALB Sarawak, sebanyak tiga lori tangki digerakkan bagi memastikan keperluan air penduduk yang terjejas dapat dipenuhi secara berterusan mengikut keperluan semasa.
Sejak semalam, sebanyak 20 penghantaran penghantaran air berjaya dilaksanakan dan operasi berkenaan masih diteruskan bagi membantu komuniti yang memerlukan bekalan air bersih.
Antara kawasan yang menerima penghantaran air ialah Kampung Lalang Hulu, Kampung Lalang Hilir, Kampung Bungey Hulu, Kampung Bungey Hilir, Kampung Babu Hulu dan Kampung Babu Hilir.
Selain itu, penghantaran turut melibatkan kawasan Debak Laut Hilir, Debak Laut Hulu, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Bandar, Kampung Melayu Dit serta Rumah Gara Blassau.
Premis penting seperti Balai Polis Debak dan Klinik Kesihatan Debak turut menerima bekalan air bagi memastikan operasi harian serta keperluan penduduk dapat diteruskan tanpa gangguan besar.
Kawasan Menyalin Baru turut disenaraikan sebagai antara lokasi yang menerima penghantaran bekalan air menerusi operasi lori tangki yang dilaksanakan JBALB Sarawak.
JBALB menjelaskan bahawa usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam memastikan kebajikan penduduk sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika menghadapi musim kemarau yang berpanjangan.
Menurut kenyataan itu lagi, JBALB akan terus memantau perkembangan situasi semasa dan melaksanakan penghantaran air dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan penduduk di kawasan terjejas.
Penduduk juga disaran mengikuti perkembangan terkini menerusi saluran media sosial rasmi JBALB Sarawak dan Rakan JBALB Bahagian bagi mendapatkan maklumat berkaitan operasi penghantaran bekalan air.
Sebarang aduan atau pertanyaan boleh diajukan kepada JBALB Call Centre di talian 082-262211 bagi mendapatkan bantuan dan maklumat lanjut berkaitan bekalan air di kawasan terjejas.
Oleh Adi Safarman



