

KANOWIT: Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang di Song, Kapit sejak jumaat lepas ditemukan lemas di Sungai Rajang, Kubu Emma petang tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie meberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit segera dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu pada jam 2.14 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi melakukan penilaian awal dan mendapati terdapat satu jasad terapung di sungai.
“Pasukan bomba bersama pihak polis menggunakan bot bagi membawa mayat ke jeti Kanowit,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa dikenali sebagai Bujang Zainuddin, 44, dari Rumah Wil Nanga Nyimoh, Song, yang sebelum ini dilaporkan hilang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak awal hari ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
Pasukan SAR telah memulakan pencarian di sekitar rumah panjang mangsa dan kawasan kebun berhampiran sebelum menerima maklumat bahawa mayat telah ditemukan orang awam di sungai.
Keluarga mangsa telah mengesahkan identiti mayat yang ditemukan, dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang atas arahan pihak polis.
OLEH TARANI LANTING
