KUCHING: ‘Jangan pisang berbuah dua kali dan jangan sampai nasi menjadi bubur.’
Itu antara ingatan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam surat rayuan kepada pengundi Sarawak menjelang hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok.
Abang Johari mengaitkan ingatan itu supaya rakyat tidak lupa apa berlaku ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Masihkah anda ingat sikap tidak adil Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Sarawak ketika memerintah 22 bulan? PH tidak pedulikan nasib dan masa depan kita.
“PH membatalkan banyak projek untuk kesejahteraan kita semua. Banyak janji PH gagaI ditunaikan. Jadi, ingatlah pesan orang tua-tua. Jangan pisang berbuah dua kali dan jangan sampai nasi menjadi bubur,” katanya dalam surat rayuan itu yang dikeluarkan sebentar tadi.
Premier Sarawak itu juga mengingatkan pengundi supaya membuat pilihan penting apabila turun mengundi esok.
“Esok, 19 November 2022 kita akan membuat pilihan penting. Masa depan Sarawak yang lebih cerah dan gemilang di tangan kita semua.
“Hanya kemenangan besar GPS dapat menjamin suara kita kuat di Parlimen untuk terus menyalakan obor perjuangan bagi menuntut dan mempertahankan hak Sarawak.
“GPS ikhlas dan komited dalam perjuangannya, serta memahami aspirasi dan kehendak rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan GPS berjaya melaksanakan 120 dasar dan inisiatif termasuk bantuan meringankan beban rakyat ketika COVID-19 melanda.
“Keutamaan kami adalah mengatasi krisis terbesar itu dan menyelamatkan kita semua dari segi kesihatan, ekonomi dan pekerjaan. Rakyat sentiasa di hati Kerajaan GPS.
“Kerajaan GPS akan terus prihatin dan mengambil berat nasib golongan B40, M40, golongan muda, pelajar, pekerja, peniaga, warga emas, OKU, penjawat awam, malah seisi keluarga dan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“lni aku janji dan komitmen kami. GPS mempunyai rekod cemerlang dan telah membuktikan keupayaannya memimpin.
“Saya sekali lagi merayu, sokong dan undilah GPS seperti pada PRN-12, Disember lalu. Undi untuk GPS ialah undi untuk Sarawak yang stabil, maju dan makmur. Ayuh, sama-samalah kita undi GPS untuk menjamin kehidupan kita, masa depan kita dan anak cucu kita yang lebih baik.
“Sayangi dan cintailah Sarawak,” katanya.