LIMBANG, 28 Oktober: Kementerian Pengangkutan (MOT) menggalakkan syarikat penerbangan dan pengendali bas ekspres menambah perkhidmatan bagi memudahkan rakyat Sarawak pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Menterinya, Anthony Loke berkata, langkah itu penting bagi menampung peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan menjelang pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, syarikat penerbangan dijangka membuat perancangan untuk meningkatkan kapasiti dan kekerapan penerbangan, khususnya bagi laluan antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRN.
“Biasanya syarikat-syarikat penerbangan digalakkan untuk menambah penerbangan, menambah kapasiti, khususnya di antara Semenanjung ke Sarawak apabila tiba musim perayaan ataupun musim pilihan raya
“Jadi saya yakin syarikat-syarikat penerbangan akan membuat perancangan kerana permintaannya sudah tentu akan meningkat menjelang pilihan raya nanti.
“Selepas pihak SPR mengumumkan tarikh pilihan raya negeri, saya yakin syarikat-syarikat penerbangan akan membuat perancangan untuk menambah kapasiti dan penerbangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang berhampiran Masjid Jannatul Firdaus, di sini, hari ini.
Loke berkata, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) turut bersedia memberikan kerjasama kepada pengendali bas ekspres di Sarawak menerusi kelulusan permit sementara bagi menambah perjalanan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Untuk syarikat-syarikat bas ekspres pula di dalam Sarawak, sudah tentu LPKP akan memberikan kerjasama untuk meluluskan permit-permit sementara bagi menambah perjalanan,” katanya
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan (MOTS) dalam kenyataan meminta syarikat penerbangan dan pengendali bas ekspres mempertimbangkan penambahan perkhidmatan bagi memudahkan rakyat Sarawak pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Menurut MOTS, langkah itu mengambil kira keperluan rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia, Singapura dan Sabah untuk pulang ke kawasan pilihan raya masing-masing.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM28.7 juta bagi Projek Pembinaan Bangunan Baharu JPJ Cawangan Limbang.
Jelasnya, projek itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan JPJ kepada rakyat, malah turut memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga kerja jabatan berkenaan.
Projek yang dilaksanakan oleh Samado Sdn. Bhd. itu bermula pada 1 September lalu dan dijadualkan siap pada 31 Ogos 2028, dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan.
Skop pembangunan merangkumi bangunan pejabat baharu, ruang kaunter perkhidmatan, kantin, kemudahan pemeriksaan kenderaan berbumbung, kandang sita berbumbung serta tiga blok kuarters kediaman untuk warga kerja JPJ Limbang.
Turut hadir pada majlis berkenaan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Pengarah JPJ Dato’ Aedy Fadly Ramli; dan Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi.
Oleh Adeng Edrus





