ADENG IDRUS
LAWAS: Sumbangan bantuan pek makanan untuk penduduk di kawasan Bukit Sari dan Ba’kelalan dilakukan secara telus.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Dato Henry Sum Agong menegaskan perkara ini tidak wajar dipersoalkan untuk dijadikan bahan politik.
Pihak Parti PBB di Pusat Khidmat Parti PBB Bukit Sari dan Pusat Khidmat PBB Ba’kelalan mempunyai senarai penuh yang akan diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM).
Henry Sum yang juga Ahli Parlimen Lawas mengalu-alukan pihak SPRM untuk sama-sama menyertai proses pengagihan sumbangan bantuan makanan kepada penduduk di Parlimen Lawas.
Seterusnya beliau meminta agar pihak yang suka menyebarkan atau membuat viral sesuatu perkara yang mengelirukan rakyat untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral ini.
Pihak parti PBB di Lawas tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap penyebar berita palsu ini.
Selain bantuan pusat khidmat PBB dan wakil rakyat GPS, terdapat juga bantuan daripada agensi lain yang mempunyai jumlah dan bentuk sumbangan berbeza.
Oleh itu adalah tidak adil untuk menuduh sumbangan makanan daripada wakil rakyat GPS sebagai tidak telus kerana memang peruntunkan parti tidak mencukupi dan wakil rakyat yang menanggung sendiri kos tambahan tersebut.
Henry Sum ditemui pada majlis penyerahan bantuan sumbangan pek makanan untuk 308 keluarga di Kampung Pengalih, Pasir Putih, Pa Puti dan Pa Kepulu di kawasan DUN Ba’kelalan.
Agihan untuk kawasan Ba’kelalan dilakukan oleh Pusat Khidmat Parlimen Lawas dan Pusat Khidmat PBB Lawas diketuai oleh Hendry Sum sendiri.
Semua bantuan peringkat pertama PKP telah diagihkan dan peringkat kedua PKP bermula 1 hingga 14 April menyusul hari Selasa(7 April 2020).
Henry Sum turut menyeru agar mana-mana pihak atau keluarga yang tercicir daripada menerima bantuan untuk berhubung terus dengan urusetia parti PBB Ba’kelalan.