SRI AMAN: Keupayaan Sarawak untuk menguruskan sumber kekayaannya tidak harus dipersoalkan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata negeri ini bukanlah tamak seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak, sebaliknya hanya mahu mendapatkan haknya seperti diperuntukkan undang-undang negara.
“Kalau hasil Sarawak bertambah, hasil tersebut akan dikembalikan kepada rakyat untuk membangunkan Sarawak seperti RM1.4 bilion yang
diluluskan untuk projek SADA (Agensi Pembangunan Sri Aman).
“Adakah salah untuk rakyat di Sri Aman membangun seperti kawasan-kawasan lain yang sudah maju? Adakah salah untuk Sarawak membangun seperti negeri-negeri yang sudah maju?
“Rakyat Sarawak hanya mahu Sarawak maju dan dihormati dengan kemampuan untuk menguruskan sumber-sumber asli yang ada dan kita berhak mendapat, itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan majlis perasmian Pesta Benak Sri Aman 2024 yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini hari ini.
Dalam pada itu, Premier Sarawak yakin, negeri ini dapat mencatatkan kutipan hasil melebihi RM14 bilion pada tahun ini.
Abang Johari berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertekad untuk mempercepatkan pembangunan di negeri ini melalui kaedah dan potensi baharu khususnya peluang dengan memberi lebih nilai kepada sumbercdi bawah ekonomi hijau.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Penasihat Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2024, Datuk Francis Harden Hollis. EDISI UKAS