Noh Salleh bangga karya satukan rakyat Malaysia raih pengiktirafan AIM25

Facebook
WhatsApp
NOH Salleh bersama MC Syze ketika ditemui media. Foto Adele Rissa

KUCHING: Penyanyi, pemuzik dan penerbit Noh Salleh menyifatkan kemenangan pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) sebagai detik istimewa, apatah lagi karya yang dihasilkan membawa mesej menyatukan rakyat Malaysia.

Noh yang meraih anugerah Lagu Perpaduan Terbaik berkata, setiap karya yang dipertandingkan mempunyai keistimewaan tersendiri, manakala pencalonan dalam anugerah berprestij itu sendiri sudah menjadi satu pencapaian besar buat semua penggiat muzik.

“Kalau tanya saya, lagu ini memang terbaik. Bukan bermaksud lagu-lagu lain tidak bagus, tetapi setiap karya yang bertanding mempunyai usaha untuk menghasilkan lagu yang boleh menyatukan rakyat Malaysia.

“Jadi, dapat menjadi sebahagian daripada perkara ini pun sudah cukup bermakna,” katanya.

Menurut Noh, pengalaman menghasilkan lagu berkenaan bersama Luqman Hakim (Luq Sahli) dan MC Syze memberikan pengalaman baharu kepadanya kerana ia merupakan kerjasama pertama beliau bersama kedua-dua pemuzik berkenaan.

“Apabila saya masuk studio bersama Abang Luq Sahli dan MC Syze, ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan mereka. Saya dapat lihat bagaimana Luq menghasilkan lirik yang kuat, selain memainkan gitar dan bass.”

Beliau berkata, idea menghasilkan lagu itu tercetus daripada MC Syze yang mahu menghasilkan karya berkaitan perpaduan selepas melihat keadaan media sosial yang sering dipenuhi perbalahan.

“Dia kata kita perlu buat sesuatu untuk Malaysia. Media sosial sekarang banyak pergaduhan, jadi kita sebagai pemuzik perlu menggunakan kemahiran yang ada untuk tujuan yang baik.

“Apabila idea itu menjadi dan akhirnya mendapat kemenangan, ia satu perasaan yang sangat luar biasa,” katanya.

Noh berkata, beliau turut menganggap kerjasama bersama MC Syze sebagai satu pengalaman istimewa kerana mengenali sejarah panjang pemuzik berkenaan dalam industri muzik tanah air.

Katanya, kemenangan itu menjadi kemuncak kepada perjalanan karya tersebut, lebih-lebih lagi apabila ia diraikan di Sarawak.

Oleh Adele Rissa