ENGKILILI: Penduduk rumah panjang di Sri Aman dinasihat agar tidak lalai dalam menggunakan perkakas elektrik atau bahan api di dalam rumah masing-masing kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Malahan beliau juga turut menasihat penduduk rumah panjang agar melakukan semula pendawaian litar eletrik di kediaman masing-masing jika ia sudah melebihi tempoh 10 tahun demi mengelak berlaku masalah litar pintas.
“Kebakaran adalah satu kejadian yang amat merugikan. Atas sebab itu adalah amat penting untuk setiap penduduk rumah panjang mengamalkan sikap lebih bertanggungjawab dalam menangani kejadian kebakaran di kediaman mereka kelak.
“Tolong utamakan keselamatan penghuni rumah panjang yang lain. Jangan biarkan semua penghuni rumah panjang mengalami musibah kebakaran hanya disebabkan oleh kelalaian kita sendiri kelak,” kata beliau.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika hadir bagi menyaksikan upacara penyerahan derma kepada keluarga mangsa kebakaran di Rumah Panjang Nanga Rasau, Engkilili baru-baru ini.
Selain itu beliau juga turut menasihat ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar rajin menghadiri kursus kebombaan yang dianjur berdekatan dengan kawasan mereka nanti.
“JKKK juga mungkin boleh menganjurkan kursus dan demonstrasi memadam api di rumah panjang mereka sendiri agar penduduk akan lebih bersedia menghadapi situasi buruk seperti kebakaran pada masa akan datang.
“Justeru saya berharap agar JKKK dapat bertindak meningkatkan tahap keselamatan dan kesedaran penduduk di rumah panjang mereka demi mengurangkan risiko kejadian kebakaran,” kata Harden.
Terdahulu beliau pada upacara itu telah mewakili 19 penderma untuk menyampaikan sumbangan kepada 18 keluarga dari Rumah Naga dan Rumah Atit yang terjejas akibat kejadian kebakaran yang memusnahkan rumah panjang mereka pada 15 September lepas.
Oleh Valentine Ngumbang