AMANAT… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap semasa menghadiri Majlis Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.• Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi amaran kepada pemimpin dan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) supaya tidak berebut jawatan hingga boleh memudaratkan parti.
Presiden PBB itu berkata, pemimpin bertukar ganti tetapi dalam proses itu, mereka perlu mengelak ‘berkelahi sesama sendiri’ bagi mengelak perpecahan.
“Yang penting, PBB jadi parti yang kuat. Sekarang pun kuat, tetapi berapa lama boleh kuat?.
“Pemimpin bertukar ganti asal jangan ada perebutan, mempunyai ‘warlord’ seperti parti lain… bergaduh sesama sendiri, parti (jadi) hancur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di akhir Perhimpunan Agung PBB ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Bagaimanapun, menurut Premier Sarawak, perkara seperti gaduh sesama sendiri tidak berlaku dalam parti PBB hingga kini.
Katanya, mereka mungkin tahu masa belum sampai untuk naik tangga hierarki dalam parti dan belum cukup latihan.
“Macam sayalah (jadi Premier Sarawak)… itu ketentuan Allah. Jadi apa nak direbut? Boleh pecah parti.
“Alhamdulilah, sampai sekarang PBB masih kuat. Kita latih orang muda daripada sekarang, naik, naik, naik… latih untuk masa depan.
“Saya ini dah tua juga, “ katanya dan menambah bahawa sebab itu PBB menubuhkan sayap baharu ‘Pergerakan Belia PBB’ untuk mereka berusia 18 hingga 28 tahun.
Beliau berkata, penuhuhan sayap muda itu adalah bagi mendedahkan mereka dalam selok-belok politik.
Dalam sidang media kemudian, Abang Johari menjelaskan bahawa penubuhan sayap muda dalam parti adalah bagi memberi latihan awal kepada mereka supaya mengenali erti politik secara rasional.
Katanya, mereka akan dididik secara berhemah dengan menimba pengetahuan luas.
“Apabila sudah mencapai usia 28 tahun nanti, mereka sudah mempunyai latar belakang politik sebagai landasan untuk membangun masyarakat dan negeri ini,” katanya.
Dalam ucapan selama 46 minit itu sebelum itu, beliau turut memperjelaskan usaha kerajaan Parti Gabungan Sarawak (GPS) bagi menambah hasil negeri.
Katanya, ia termasuk melalui industri karbon dan hidrogen dengan pelabur dari Korea Selatan turut melabur.
Malah kata beliau, usaha menubuhkan Dana Berdaulat bertujuan untuk masa depan anal muda di negeri ini.
Semua jawatan tertinggi dalam parti PBB kecuali untuk 16 jawatan Majlis Tertinggi (MT) dimenangi tanpa tanding, pada perhimpunan agung kali ini.