Jambatan Sungai Layar ditutup dua minggu, orang ramai diminta bersabar – Uggah

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa meninjau keadaan Jambatan Sungai Layar di sini, hari ini. Foto Douglas Uggah Embas Official

BETONG: Pengguna jalan raya di Betong diminta bersabar dan merancang perjalanan susulan penutupan sepenuhnya Jambatan Sungai Layar selama dua minggu bagi membolehkan kerja pembaikan serta pengalihan paip bekalan air dilaksanakan dengan selamat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penutupan sementara itu penting bagi memastikan kerja pembaikan jambatan berkenaan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan keselamatan pengguna dan petugas di lokasi.

Beliau berkata, keputusan menutup jambatan lama berkenaan dibuat selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti masalah keselamatan pada struktur jambatan.

“JKR menemukan masalah keselamatan. Jadi tujuan hari ini adalah untuk berbincang dengan kontraktor dan konsultan supaya jambatan ini dapat disiapkan dengan secepat mungkin dan selamat.

“Kita minta masyarakat di Betong bersabar. Kita akan menutup jambatan ini selama dua minggu,” katanya selepas meninjau keadaan Jambatan Sungai Layar di sini, hari ini.

Uggah berkata, tempoh penutupan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kontraktor bagi melaksanakan kerja pembaikan dengan lebih pantas, selain membolehkan pengalihan paip bekalan air di kawasan jambatan dilakukan dengan lebih teratur.

Dalam lawatan itu, beliau menerima taklimat daripada Jurutera JKR Bahagian Betong mengenai keadaan semasa jambatan, skop kerja pembaikan serta langkah keselamatan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan.

Beliau turut meninjau kemajuan Projek Menaik Taraf Jalan Saka–Spaoh dan pembinaan Jambatan Sungai Layar baharu yang dijangka memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk serta pengguna laluan berkenaan apabila siap kelak.

Uggah turut meminta kontraktor mengambil peluang sepanjang tempoh penutupan untuk mempercepatkan kerja pembinaan jambatan baharu agar ia dapat disiapkan lebih awal dan dibuka kepada pengguna dalam keadaan selamat.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu; serta ketua-ketua jabatan dan wakil agensi berkaitan.

Oleh Adi Safarman