KABONG, 26 November: Calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Nor-E-Fadzwie Salleh bertekad meneruskan kesinambungan agenda pembangunan yang telah dirintis kepimpinan terdahulu demi memastikan kawasan Kabong, Nyabor dan Roban terus menikmati kemajuan.
Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan kepimpinan tertinggi GPS untuk memikul amanah sebagai calon parti merupakan satu tanggungjawab besar yang akan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, komitmen dan rasa rendah hati.
Menurutnya, beliau amat bersyukur kerana diberikan kepercayaan untuk mewakili GPS di kerusi berkenaan, selain menerima watikah pelantikan daripada kepimpinan tertinggi parti.
“Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, saya telah diberikan kepercayaan dan dipilih sebagai calon GPS bagi kerusi DUN Kabong.
“Saya menerima amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh rasa syukur, rendah hati serta kesedaran bahawa ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan demi kepentingan masyarakat dan seluruh penduduk di kawasan DUN Kabong,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kepimpinan tertinggi parti, seluruh kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), jentera GPS serta masyarakat DUN Kabong atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.
Nor-E-Fadzwie berkata, sekiranya diberikan mandat oleh rakyat, keutamaan beliau adalah bersama-sama masyarakat meneruskan usaha pembangunan, memajukan kampung-kampung serta memperjuangkan keperluan penduduk di seluruh kawasan DUN Kabong.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk menyambung dan meneruskan perancangan pembangunan yang telah dirintis bekas ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
“Segala usaha dan perancangan yang telah dibuat akan dijadikan asas untuk kita terus bergerak ke hadapan demi kepentingan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan kawasan tidak boleh digerakkan oleh seseorang pemimpin sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk ketua masyarakat, golongan belia, wanita, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh penduduk.
Katanya, hubungan baik antara pemimpin dengan rakyat perlu sentiasa dipelihara bagi memastikan setiap perancangan pembangunan mengambil kira suara, pandangan serta keperluan sebenar masyarakat.
“Pintu saya sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan, teguran dan cadangan daripada masyarakat.
“Saya percaya hubungan baik antara pemimpin dengan rakyat perlu sentiasa dipelihara kerana suara dan keperluan rakyat merupakan perkara utama dalam setiap perancangan pembangunan,” katanya.
Beliau turut mengajak seluruh penduduk Kabong, Nyabor dan Roban untuk bersama-sama membina masa depan kawasan itu dengan membawa lebih banyak kemajuan, peluang serta kesejahteraan kepada masyarakat dan generasi akan datang.
Nor-E-Fadzwie berharap agar seluruh pengundi memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya untuk bersama-sama memikul amanah membangunkan N.40 Kabong.
“Bersama kita melangkah, bersama kita membangunkan N.40 Kabong,” katanya.
Oleh Adi Safarman



