KAPIT: Jambatan Nanga Mujong yang berdiri megah menjadi ikonik perpaduan rakyat di Bahagian Kapit amnya dan Sarawak secara keseluruhannya.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, semua kabel yang menghubungkan antara jambatan tersebut menunjukan rakyat saling memberikan sokongan antara satu sama lain untuk membangunkan Sarawak.
“Jambatan Nanga Mujong ini adalah ikonik perpaduan rakyat di bahagian Kapit dan Sarawak secara keseluruhannya,” jelasnya semasa berucap dalam lawatan kerja ke Jambatan Nanga Mujong, semalam.
Katanya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini sedang dan akan melaksanakan projek infrastruktur di kawasan Baleh dengan suntikan dana yang besar.
“Ia termasuk jalan akses ke Empangan Baleh bermula dari Jambatan Nanga Mujong sepanjang 73 kilometer dengan kos RM1.2 bilion (sedang dilaksanakan), Jalan raya Nanga Sepanggil/Tunoh (diluluskan RM600 juta) dan Jalan raya Rh. Nyamok/Ng. Serau/Nanga Gaat/SMK Baleh/Sg. Kain dalam dua fasa (RM550 juta diluluskan untuk pelaksanaan dalam RMK12).
“Selain itu, Kerajaan Sarawak juga membiayai pembinaan Jambatan Batang Baleh, Jambatan Sg. Banyau, Sg. Mujong siap dengan kos RM123 juta dan Jambatan Sg. Merirai berjumlah RM2.3 juta,” ujarnya.
Datuk Patinggi Abang Johari yang juga Presiden GPS berkata, Bahagian Kapit telah menerima pembangunan infrastruktur yang jelas selepas kawasan tersebut diletakkan di bawah bidang kuasa URDA.
“Perkara pertama yang saya lakukan dalam lawatan pertama saya ke Kapit selepas mengambil alih daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan pada 2017 ialah menubuhkan URDA,” ujarnya.
Katanya, pendekatan dengan penubuhan URDA membolehkan proses pembangunan berlaku secara ‘bottom-up’ dan tumpuan serta sumber dapat diberi kepada kawasan berkenaan supaya perlaksanaannya lebih berkesan.
“Rakyat Sarawak kini bijak untuk menilai apa yang benar atau sebaliknya berhubung maklumat yang disiarkan di media sosial,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN/EARL ANEK