
BINTULU: Jambatan Bintulu-Jepak yang menjadi mercu tanda baharu bandar Bintulu akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada Ahad ini (23 Mac).
Majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 10.00 pagi dan akan disempurnakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Pembukaan jambatan itu amat dinantikan kerana ia bakal menghubungkan Bintulu dengan Jepak dengan lebih efisien, sekali gus memendekkan perjalanan dari Lapangan Terbang Bintulu ke pusat bandar daripada 22 kilometer (km) kepada hanya 6.4 km.
Dibina dengan kos RM460 juta, jambatan sepanjang 268 meter yang merentasi Sungai Kemena itu merupakan jambatan kabel empat lorong pertama di Malaysia Timur, menampilkan dua menara utama serta kejuruteraan moden yang kukuh.
Persiapan akhir kini giat dijalankan, dan penduduk setempat sudah mula membincangkan pembukaannya, yang dijangka membawa perubahan besar kepada ekonomi dan mobiliti di kawasan pesisir.
Dengan pembukaan rasmi ini, Jambatan Bintulu-Jepak bakal menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur Sarawak, mempercepat pertumbuhan bandar dan memudahkan pergerakan rakyat.
OLEH CAROLYNE UTIH