SIBU: Projek pembinaan jambatan besi sepanjang 30 meter di Jalan Nam Chong telah berjaya disiapkan dalam tempoh 20 hari, bakal memberikan manfaat kepada penduduk di kawasan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, jambatan besi itu adalah bagi mengantikan jambatan kayu yang berusia hampir 100 tahun.
“Penduduk di sini amat memerlukan jambatan baharu ini bagi mengantikan jambatan kayu yang telah usang dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan.
“Dengan siapnya jambatan baharu ini, akan memberi manfaat kepada beberapa ratus penduduk di kawasan di sini termasuk pelajar tadika, sekolah rendah dan menengah berhampiran,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jambatan Jalan Nam Chong, hari ini.
Mengulas lanjut, Wong yang juga Naib Presiden Kanan PDP berkata, peruntukan bagi membina jambatan itu ditanggung sendiri oleh beliau serta PDP Bawang Assan.
“Penduduk di sini telah menemui saya dan meminta bantuan bagi membina jambatan baharu.
“Pusat Khidmat Komuniti PDP Paradom bersama PDP Bawang Assan kemudian melihat pemasalahan penduduk dan kita memutuskan untuk membuat sendiri jambatan,” katanya.
Beliau turut memuji pihak kontraktor yang dapat menyiapkan jambatan tersebut dalam tempoh yang singkat.
Turut hadir, Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Bawang Assan Kapitan Wong Hua, Pengerusi Pusat Khidmat Komuniti PDP Paradom Ting Hoong Hua, kontraktor Hii Ching Yu serta pembantu peribadi Wong, Sean Wong.
Oleh Akun Giman