SIBU: Program Pertukaran Budaya antara Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) dan Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang memberi ruang kepada pelajar TVET dari Sarawak dan Semenanjung untuk memahami kepelbagaian warisan budaya antara kedua-dua wilayah.
Program yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak itu menghimpunkan 47 peserta terdiri daripada pelajar dan pensyarah kedua-dua institusi di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Ia membabitkan 16 pelajar Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL) dan empat pensyarah KKSRCS, selain 24 pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan serta tiga pensyarah pengiring daripada PMS.


Selain pendedahan kepada produk budaya dan pelancongan, program itu turut membuka ruang kepada peserta membina jaringan kerjasama antara institusi TVET dari dua wilayah.
Kampung Budaya Sarawak yang sering digelar sebagai ‘Muzium Hidup’ menjadi lokasi peserta mengenali kepelbagaian warisan Sarawak menerusi persembahan tarian tradisional, selain pengenalan kepada makanan warisan.
Pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan PMS, Amira Asrul berkata pengalaman itu memberi nilai tambah kepada pelajar kerana berkait rapat dengan bidang pengajian dan persediaan mereka untuk memasuki industri pelancongan.
“Sebagai pelajar dari Semenanjung, peluang menjejakkan kaki ke sini merupakan satu pengalaman luar biasa.
“Kami bukan sahaja dapat melihat dan merasai kepelbagaian etnik di Sarawak secara bersemuka, tetapi turut berpeluang memperkenalkan keindahan seni tari dan makanan warisan Pahang kepada rakan-rakan di sini,” katanya.
Menurutnya, pendedahan silang budaya penting bagi membentuk pemahaman lebih luas dalam kalangan bakal graduan sebelum mereka memasuki alam pekerjaan, khususnya dalam sektor pelancongan.
Program itu juga diharap menjadi titik permulaan kepada peluasan kolaborasi antara institusi TVET, di samping menggalakkan pertukaran ilmu dan pemahaman mengenai kepelbagaian budaya dalam kalangan generasi muda.
Oleh Tarani Lanting




