KANOWIT: Pesta Kanowit 2026 bukan sekadar platform memperkenalkan keunikan budaya dan tradisi masyarakat setempat, malah berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan menerusi kehadiran pengunjung dan peserta dari dalam serta luar Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong berkata penganjuran pelbagai aktiviti sepanjang pesta itu memberi peluang kepada peniaga tempatan, termasuk golongan belia, untuk menjana pendapatan tambahan.
Beliau berkata antara acara yang mendapat penyertaan luar ialah pertandingan lumba perahu yang menghimpunkan peserta dari Song, Sibu, Miri, Kuching dan Brunei.
“Penganjuran acara seperti lumba perahu bukan sahaja menarik penyertaan tempatan, malah peserta dari luar daerah dan negara jiran.
“Kehadiran mereka membawa limpahan ekonomi kepada penduduk dan peniaga tempatan, termasuk golongan belia yang mengambil peluang menambah pendapatan,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Pesta Kanowit 2026 di sini.
Menurut Allan, Kanowit turut mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan berikutan keunikan budaya, warisan adat dan kehidupan masyarakat pelbagai etnik yang boleh diketengahkan kepada pengunjung.
Katanya, keharmonian masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama juga menjadi antara kekuatan utama daerah itu dalam menarik perhatian pengunjung serta mengekalkan suasana komuniti yang aman.
“Saya sangat bangga dengan orang Kanowit kerana kita boleh bergaul rapat. Kita mesti terus memperkukuh perpaduan ini kerana di tempat lain keadaannya tidak seperti kita.
“Jangan sesekali kita berfikir untuk memecahbelahkan perpaduan atau berbalah disebabkan tidak puas hati antara bangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat tempatan dan peniaga supaya tidak ketinggalan dalam arus modenisasi, sebaliknya memanfaatkan kemajuan teknologi digital bagi memperluas peluang ekonomi.
Pesta Kanowit 2026 berlangsung dari 12 hingga 27 September di sekitar Tebingan Kanowit dan Pekan Kanowit, dengan pelbagai pengisian termasuk sukan rakyat, Senamrobik Perpaduan, bazar jualan, pameran agensi, Cabaran Bot Kuasa 2026 dan pertandingan Ratu Kebaya.
Hadir sama ADUN Ngemah Anyi Jana dan isteri Gelim Utam; Pegawai Daerah Kanowit merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kanowit 2026 Cerisologo Sabut; wakil Residen Bahagian Sibu Abdul Malik Hashim; Setiausaha Majlis Daerah Kanowit Chong Nee Nie; Setiausaha Sulit Menteri Perpaduan Negara Donny Niambang; wakil Ketua Polis Daerah Kanowit Inspektor Daglish Dundang Lamat; Pemanca Charlie Salang dan Pemanca Leong Khing Hee.
Oleh Tarani Lanting




