
Foto Facebook Jabatan Kerja Raya Sarawak
SARIKEI: Penduduk Sarikei dan Tanjung Manis kini menikmati kemudahan baharu selepas Jambatan Batang Rajang dibuka sepenuhnya kepada orang awam, sekali gus menjadi hadiah istimewa sempena Aidilfitri tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, hari ini, merasmikan majlis prapelancaran jambatan tersebut yang merupakan projek infrastruktur utama kerajaan negeri.
Dengan panjang keseluruhan 1,440 meter, jambatan ini menjadi penghubung penting antara Sarikei, Bintangor dan Tanjung Manis, melengkapkan jaringan Jalan Pesisir Sarawak yang lebih cekap dan komprehensif.
“Jambatan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk setempat, malah turut meningkatkan aktiviti sosioekonomi dan mempercepatkan akses ke pusat ekonomi serta perkhidmatan di kawasan sekitar,” katanya dalam majlis berkenaan.
Dengan pembukaan jambatan ini, jarak perjalanan antara Sarikei ke Tanjung Manis dikurangkan daripada 122 kilometer kepada hanya 53 kilometer, menjadikan masa perjalanan lebih singkat daripada dua jam setengah kepada hanya 45 minit.
Laluan dari Bintangor ke Tanjung Manis juga dipertingkatkan, dengan jarak berkurangan daripada 108 kilometer kepada 60 kilometer, dan masa perjalanan daripada dua jam kepada satu jam sahaja.
Walaupun jambatan ini sudah boleh digunakan, kerja-kerja kecil masih giat dijalankan.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk berhati-hati serta mematuhi arahan lalu lintas demi keselamatan bersama.
Pembinaan Jambatan Batang Rajang mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
Projek ini juga mengukuhkan matlamat Sarawak untuk menjadi negeri maju, inklusif, dan mampan pada masa hadapan.